..Ya Allah..tabahkanlah ku...aminnn...
"ujian ada 'prasyarat' kesempurnaan IMAN"
“Di mana saya nak cari kekuatan, kecuali dari yang Maha Kuat. Ustaz nampak saya kuat, tapi yang kuat adalah Dia. Saya meminjam kekuatan dengan bergantung kepada-Nya”, kata ayah seorang pesakit kepada saya.
Saya mengangguk.
“Tak ada sesiapa di kalangan kita yang mampu mengimani-Nya. Kita yang lemah dan serba tiada ini, mahu mendakwa telah berpegang dengan kebesaran Dia? Mustahil…”, sambungnya lagi.
“Itulah sebabnya Allah memanggil di dalam al-Quran, wahai orang-orang yang beriman, berimanlah kamu kepada Allah (Al-Nisaa’ : 136)”, saya menambah.
“Ya… Allah suruh orang-orang yang rasa dirinya beriman untuk lihat balik, kamu beriman dengan apa… dengan siapa?”, sambung beliau.
Kami sama-sama terdiam. Allah jua yang tahu perasaan saya semasa merenung wajah anaknya yang sedang bertarung dengan ujian Allah itu. Terasa mengalir kuatnya yakin si ayah untuk mentafsirkan kesakitan anaknya sebagai suatu kebaikan.
“Apa guna kita esakan Dia? Kalau bukan untuk hancurkan kita. Hancurkan diri…”, beliau seperti bercakap dengan dirinya sendiri.
“Hancurkan ego, hancurkan rasa memiliki”, saya cuba mengemaskinikan ayatnya.
“Ya ustaz. Selagi ada dalam jiwa ini rasa memiliki, selagi itulah kita mengeluh dengan kehilangan dan kekurangan. Lupa pada apa yang diberikan-Nya. Walhal nanti kita ditempelak dengan nikmat yang diberi, bukan nikmat yang pergi. Fa bi ayyi aalaa’i rabbikuma tukadhdhibaan?“, katanya.
Air mata susah hendak ditahan. Terasa tepu dada saya menelan kata-kata yang datang dari keyakinan si bapa. Bukan ucapan pengetahuan, tetapi keyakinan. Pecah juga genang air di mata saya tetapi cuba saya sembunyikan dari pandangan si anak yang terlantar. Dia harus terus kuat untuk bertahan dan kami di sekelilingnya mesti menyokong dia agar terus kuat.
MENGUJI ILMU
Bertugas sebagai kaunselor pesakit di sebuah hospital seperti IJN, sepatutnya bukanlah sesuatu yang terlalu rumit.
Selain teknik mendekati pesakit, serba serbi pengetahuan yang telah diukur pada segulung ijazah, harus cukup untuk membolehkan saya bekerja. Bukannya pesakit meminta takhrij hadith, atau khilaf ulama’ dalam nasihat kita.
Tetapi saya sedar, semakin dalam saya tersedut masuk ke dunia pesakit dan ahli keluarganya, terasa kosong apa yang saya pelajari selama ini. Terasa bodoh dan dungu berdiri di depan pesakit dan keluarganya, biar pun mereka itu hanya buruh kasar, pemandu lori atau seorang yang tidak punya apa-apa status sosial.
Mengapa tidak?
Sesungguhnya pengalaman bersama pesakit, memahamkan saya bahawa kekuatan yang diperlukan untuk mendepani ujian, bukan datang dari himpunan pengetahuan dan fakta-fakta ilmiah. Semua itu tidak berharga jika ia tidak menyuluh jalan untuk seorang hamba yang sedang diuji, menyampaikan tangisannya kepada Dia.
“Tak salah ustaz. Saya tak marah isteri saya menangis. Tetapi pesan saya kepadanya supaya jangan hanya menangis. Menangislah sampai dapat meyakini Dia. Sebagaimana ketawa jangan sampaikan lupakan Dia. Jika dengan ujian seperti ini masih tidak mampu yakin pada-Nya, itulah yang patut ditangisi”, amat dalam kata-kata si ayah.
Saya seperti mahu tersepuk di tepi katil. Sayalah yang ‘bodoh’ dan jahil di hadapan situasi ini.Mengangguk lemah…
AGAMA DAN TUHAN
Kadang-kadang tanpa kita sedar, kita bermain-main dengan ilmu agama. Kita sibuk menelaah hukum. Kita terasa bijak dapat menyelesaikan khilaf ulama. Tetapi kita lupa, untuk apa semua itu? Untuk apa agama ini?
Ilmiah, ilmiah, nota kaki, nota kaki… ke mana semua lambakan itu dalam soal membina yakin kita? Keyakinan yang menjadi tali penghubung antara realiti sepahit ini dengan hakikat Dia yang Maha Tinggi?
Sesungguhnya saya merenung balik ke belakang. Melihat sejarah manusia, sejarah diri sendiri…
Kerana rosaknya agama Kristian, ramai orang Eropah yang berTuhan tanpa agama. Terus yakin pada Dia tetapi hilang arah kerana rosaknya agama untuk berhubung dengan-Nya.
Tetapi jauh di dalam masyarakat kita, agama Islam kita rosak, hingga ramai orang kita yangberagama tanpa Tuhan! Kerana terperangkap di dalam ritual dan proses agama, kita gagal sampai kepada-Nya.
Kita menyembah ‘agama’, bukan lagi Tuhan, bukannya Dia.
Kerana itu kita banyak berbalah, berkeluh kesah dan memberontak… kerana lupa kita hamba dan Dia segalanya. Kita kelihatannya seperti sangat beragama dek pengetahuan, tetapi apabila direnung pada kelakuan, keyakinan dan pegangan diri dalam kehidupan, kita seperti hidup tidak berTuhan.
Kita beragama, tetapi dalam beragamanya kita itu, kita miskin dari hakikat Dia. Tidak terserlah kehambaan diri, tidak terlihat kebesaran si Dia.
Saya beredar dari wad dengan air mata yang gagal berhenti…. bahawa dalam kesakitan itulah terbentangnya kesejahteraan iman.
Siapakah sebenarnya yang sakit?
Mereka yang terlantar itu atau diriku yang berdiri di sini?
Ya Allah, sembuhkanlah tubuh mereka yang sakit, sembuhkanlah iman si kami yang sihat ini… Ameen!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur
No comments:
Post a Comment