“Aku hairan mengapa orang bukan Islam lebih jujur dan amanah daripada orang Islam?” kata seorang sahabat saya yang juga seorang jurutera. Saya diam. Memang ada kebenarannya jika dilihat selayang pandang.
“Awak lihat di negara-negara Barat, surat khabar dibeli hanya dengan meletakkan wang di dalam bekas di tepi jalan. Tidak ada orang mengelat untuk membayarnya.”
Cerita yang sama pernah saya dengar daripada kawan-kawan yang pulang dari London. Saya teruja dengan topik perbualan pagi itu. Mengapakah orang bukan Islam lebih baik perilakunya berbanding orang Islam? Jika benar, benarkah itu yang sebenarnya?
“Itu di Barat, cuba awak perhatikan di Jepun sewaktu dilanda tsunami baru-baru ini. Rakyatnya berbaris sewaktu menerima bantuan makanan. Peniaga menjual bateri yang sangat diperlukan sewaktu terputus bekalan elektrik dengan separuh harga. Nilai kemanusiaan mereka terlalu tinggi. Tidak ada sikap mengambil kesempatan dan mementingkan diri walaupun pada saat-saat kritikal. ”
“Kalau di negara-negara Islam?” tanya saya untuk menyemarakkan perbualan.
“Kita boleh lihat sendiri bagaimana umat Islam berebut-rebut mendapatkan bantuan makanan di kawasan yang dilanda bencana alam. Malu kita melihatnya. Di negara kita pun, apa kurangnya. Apabila ada kenderaan membawa makanan terlibat dengan kemalangan, penduduk sekitarnya berebut mengambil makanan yang bertabur. Itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang dan etika tetapi haram di sisi agama.”
Saya terus mengangguk-angguk, mengiakannya. Saya masih teringat bagaimana seorang mufti pernah memberi amaran agar wang yang diambil dari sebuah kenderaan yang terlibat dalam kemalangan suatu ketika dulu dipulangkan kerana perbuatan mengambil wang yang bukan milik kita adalah haram.
“Mengapakah sikap orang bukan Islam lebih baik daripada kita orang Islam?” Sekali lagi pertanyaan itu diajukan kepada saya. Dalam diam, saya terus berfikir.
“Secara fitrahnya manusia dicipta dengan potensi kebaikan. Setiap insan dibekalkan Allah dengan benih kebaikan secara tabii. Cuba kita lihat dalam realitinya… ada individu yang secara semula jadinya pemurah, mudah simpati, penyayang berbanding individu yang lain. Manakala ada pula yang lebih berani, tahan lasak, gigih…”
“Tidak kira orang Islam dan bukan Islam?”
“Ya. Tidak kira sama ada dia orang Islam atau bukan Islam, sama-sama Allah bekalkan benih kebaikan yang ada dalam diri setiap manusia… ”
“Kalau begitu, manusia boleh jadi baik tanpa Islam? Jadi apa gunanya diutus para Rasul jika tanpa agama pun manusia sudah boleh jadi baik?” soalnya bertalu-talu.
“Para Rasul terutamanya Nabi Muhammad diutus untuk menyempurnakan akhlak manusia. Begitu yang ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w sendiri. Benih kebaikan yang diberikan sebelum ini ialah bekalan asasi daripada Allah untuk seorang insan menerima seruan kebenaran yang dibawa oleh para Rasul.”
“Menyempurnakan? Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan ‘menyempurnakan’ itu?”
“Maksudnya, benih kebaikan pada diri manusia memang sudah ada. Kedatangan Rasulullah s.a.w. adalah untuk lebih menyuburkan benih kebaikan itu.”
Melihat dia termenung, saya menambah, “umpama sebiji benih, untuk membesar ia perlu diberi air, baja, cahaya dan dijaga daripada serangga perosak. Jika semua itu dibuat, barulah ia boleh membesar menjadi pohon yang baik, berdaun, berdahan dan akhirnya berbuah. Itulah maksudnya dengan menyempurnakan.”
“Tanpa kedatangan Rasulullah?”
“Benih itu boleh tumbuh juga tetapi tidak sempurna. Mungkin terbantut, tidak hidup lama dan mungkin mati sebelum berbuah. Maka begitulah sikap baik manusia tanpa pimpinan agama, akan mudah terhakis, tidak holistik, tidak tahan lama dan tidak tahan uji.”
“Maksud awak?”
“Mungkin ada orang yang baik dalam perkara-perkara tertentu, tetapi dalam perkara yang lainnya tidak. Orang Barat mungkin jujur dalam soal kewangan, tetapi tidak jujur dalam pergaulan lelaki perempuan. Perzinaan, homoseksual, lesbian dan bersekedudukan sudah menjadi kebiasaan, ” kata saya.
“ Orang Jepun pula mungkin baik daripada hubungan sosial dan kemanusiaan, tetapi kecundang daripada segi spiritual. Kejadian bunuh diri, buli dan stres berleluasa di kalangan masyarakat mereka. Tetapi konsep akhlak dalam Islam itu lebih menyeluruh dan sepadu, akhlak dengan Allah, dengan manusia, dalam ekonomi, sosial dan seluruh sistem kehidupan,” dia menambah.
Kemudian dia terus termenung. Keningnya berkerut, lantas berkata “tetapi…”
“Tetapi masyarakat Islam hari ini tidak begitu bukan?” ujar saya menangkap apa yang sedang difikirkannya.
“Ya. Kenapa?”
“Banyak dan besar bezanya antara masyarakat Islam dengan masyarakat umat Islam. Sekarang ini hanya ada masyarakat umat Islam.”
“Saya masih keliru, apa maksud awak?”
“Percayakah awak ramai orang Islam yang tidak mengamalkan sifat kejiranan, pentingkan diri, hidup nafsu-nafsi, minum arak, bergaul bebas, makan riba, tidak solat dan mengamalkan lain-lain kemungkaran? Kita nak namakan apa mereka tu, orang Islam?”
“Ya, memang tetap beragama Islam. Selagi mereka bersyahadah kita tidak boleh menuduh mereka kafir.”
“Betul, mereka tetap orang Islam. Jika mereka bermasyarakat, masyarakat mereka dinamakan masyarakat umat Islam. Tetapi bukan masyarakat Islam. Masyarakat Islam hanya terbentuk apabila setiap anggotanya mengamalkan hidup berpandukan syariat yakni peraturan Allah dalam semua bidang kehidupan…”
“Tadi awak kata sikap baik yang dibentuk berdasarkan tabii sahaja tidak tahan uji…cuba jelaskan,” ujarnya mengalih fokus perbualan kepada persoalan asal – mengapa orang bukan Islam lebih baik?
“Ya, mungkin atas dasar tabii seseorang boleh melakukan kebaikan selagi dibalas dengan kebaikan tetapi jika kebaikannya dibalas dengan kejahatan, dia tidak mampu lagi untuk bertahan atau ketulusannya akan terjejas.”
“Apa kaitannya semua ini dengan persoalan saya tadi, mengapakah orang bukan Islam lebih jujur daripada orang Islam sendiri?”
“Itu kerana faktor tabii individu yang lama-kelamaan menjadi budaya sesuatu bangsa, kelompok atau negara. Misalnya, orang Inggeris terkenal dengan budaya bersih, menepati waktu dan berterus terang. Itu budaya bangsa yang pada asalnya ialah tabiat individu. Namun apabila ramai individu dalam bangsa itu yang bersikap demikian dan diamalkan pula pada setiap masa dan keadaan, maka jadilah budaya bangsa tersebut. Al-hasil, budaya bangsa itu pun tersentuk secara ‘evolusi ‘dan ‘gradually’. Misalnya, bangsa Inggeris itu bersih, menepati waktu dan berterus terang.”
“Seperti budaya bangsa Arab yang cekal, menghormati tetamu dan berani. Bangsa Melayu yang sinonim dengan sikap lemah lembut, pemalu, ramah mesra dan mengenang budi. Bangsa Cina yang tahan menyimpan rahsia, sabar dan gigih berusaha. Bangsa Jepun yang terkenal dengan berani, berdisiplin dan bekerjasama. Itu semua berasal daripada sifat tabii individu yang kemudiannya membentuk budaya sesuatu bangsa. Itu maksud awak?” tambahnya.
Saya hanya mengangguk, alhamdulillah, dia cepat menangkap apa yang saya maksudkan.
“Namun, harus diingat, tanpa Islam budaya bangsa walau sebaik mana pun tidak akan mampu bertahan. Tambahan pula dalam arus globalisasi dan dunia tanpa sempadan ini. Penyebaran budaya Barat menerusi teknologi maklumat serta dasar neokolonialismenya yang terus-menerus melancarkan proses “homogenisasi” agar budaya hidup liberal diamalkan di seluruh dunia.”
“Saya terbaca, semangat generasi muda Jepun kini tidak sekental nenek moyang mereka dahulu. Generasi Cina yang ketiga juga khabarnya sedang mengalami kelembapan. Begitu juga generasi muda Melayu, sudah kurang adab dan rasa malunya… Budaya punk, rock dan lain-lain melanda remaja seluruh dunia. Nilai-nilai ini dianggap maju, moden dan dinamik. Nilai-nilai tradisional dianggap mundur, jumud dan statik.”
“Semua bangsa hakikatnya sedang mengalami hakisan budaya. Budaya kuning. Sekarang sedang berlaku ‘coca-colonization’, budaya hidup popular mengambil sempena jenama minuman popular Amerika, Coca-cola. Dengan ini, budaya hidup berdasarkan isme liberal kapitalis tajaan Amerika bercita-cita untuk melunturkan nilai-nilai tradisi semua bangsa di dunia. Penjajahan pemikiran dan budaya ini akan memberi keuntungan kepada Barat yang menjadi pengeluar utama produk-produk hedonisme ini.”
“Bagaimanakah kita menahannya?”
“Kembali kepada agama. Kita sempurnakan akhlak kita dengan wahyu dan hadis yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, utusan Allah. Amalkan ajaran Islam bermula daripada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ayuh kita tegakkan hukum-hakam Allah bermula dari bidang sekecil-kecilnya, sampailah kepada yang sebesar-besarnya.”
“Ya, tetapi seperti yang saya katakan tadi, ada orang Islam yang lebih teruk perilakunya. Kadar rasuah negara Islam lebih tinggi daripada negara bukan Islam.”
“Maaf, negara umat Islam bukan negara Islam,” saya cuba mengingatkan.
“Ya. Maaf… negara umat Islam. Ini kerana kita orang Islam sendiri tidak berpegang dan mengamalkan ajaran Islam dengan serius. Kita cuma ada benih kebaikan, tetapi tidak menyubur dan menjaganya. Akhirnya, benih itu layu dan hampir mati. “
“Bagi orang bukan Islam?”
“Bagi bukan Islam, kekadang budaya bangsa atau tabiat baik individunya tetap dipelihara melalui kaedah penyuburan rasa cinta kepada nilai-nilai tradisi dan pengamalan disiplin hidup yang tinggi sejak kecil lagi, sama ada di dalam keluarga, sekolah-sekolah, organisasi atau masyarakat. Walaupun tidak sekukuh dan sesempurna kaedah Islam, namun itu lebih baik berbanding tidak ada usaha langsung.”
“Ya, masalah kita umat Islam, kita lepas kedua-duanya. Berpegang kepada ajaran agama pun tidak serius, berpegang kepada nilai tradisi bangsa pun tidak. Jadi benih kebaikan dalam umat Islam yang terbiar begitu sahaja,” ujar saya lagi.
“Jadi kebaikan orang bukan Islam hanya disebabkan kecintaan terhadap budaya mereka yang mampu dipertahankan hingga setakat ini?”
“Ya. Dan kelemahan kita umat Islam kerana budaya bangsa kita telah terhakis dan gagal memanfaatkan prinsip agama untuk membina dan menyuburkan semula budaya yang baik itu.”
“Maksud awak agama Islam itu satu budaya?”
“Tidak. Islam bukan ciptaan manusia. Jadi, ia bukan budaya. Tetapi jika hukum-hakam Islam diamalkan sebagai satu cara hidup, maka tertegaklah apa yang dikatakan budaya Islam. Contohnya, budaya Islam dalam menghormati tetamu, makan-minum, berpakaian, bergaul dan lain-lain. ”
“Budaya Islam tahan uji?”
“Ya, selagi orang yang mengamalkannya berpegang teguh kepada keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Bukankah budaya itu lahir daripada karakter masyarakat? Manakala karakter pula dilazimkan oleh kelakuan. Dan kelakuan lahir daripada sikap. Sikap dibentuk oleh sistem nilai yang berpunca daripada set minda atau pandangan hidup. Dan pandangan hidup itu lahir daripada keyakinan. Maksudnya, selagi keyakinan kukuh, selagi itulah budaya yang baik itu utuh. Keyakinan dalam ajaran Islam itulah iman atau akidah. Itulah asas dan teras budaya Islam.”
“Jadi budaya Islam kini terhakis kerana lemahnya iman?”
“Ya, lemah iman, lunturlah budaya Islam. Hanya orang beriman mampu menegakkan budaya hidup Islam. Sebab itulah dalam al-Quran, surah al-Hujurat ayat 14, Allah menegur orang yang mengaku beriman dengan firman-Nya yang bermaksud: “Katakan kamu belum beriman tetapi katakan kami telah tunduk yakni Islam kerana iman itu belum masuk ke hati kamu.”
“Jadi inilah yang menyebabkan kadangkala bukan Islam lebih baik kelakuannya daripada orang Islam sendiri…” katanya sambil mengangguk-angguk kepala.
“Jika umat Islam berpegang teguh kepada iman, karakter peribadi dan budaya yang terhasil lebih hebat daripada apa yang diamalkan oleh mana-mana bangsa pun di dunia sebelum, semasa dan sesudahnya.”
“Kenapa?”
“Kerana akar budaya kita lebih kukuh. Budaya Islam tertegak bukan kerana prinsip-prinsip luaran seperti keuntungan komersial, fanatik bangsa, kepentingan puak, kemegahan nama atau kuasa, tetapi atas dasar keyakinan kepada Allah dan hari Akhirat. Kita amalkan kebaikan kerana mengharapkan keampunan Allah dan syurga. Itu lebih ikhlas dan jujur. Berbanding kita buat baik kerana mengharapkan keuntungan ekonomi atau kuasa politik!”
“Maksudnya?” dia menyoal pendek.
“Ada orang jujur kerana dengan kejujuran, produknya akan lebih laku. Ada pekerja yang diminta senyum semasa melayan pelanggan kerana itu ada nilai komersial. Perkhidmatannya akan lebih laris. Ada yang menjaga kebajikan rakyat, hanya untuk mendapat undi dan mengekalkan kuasa. Itu tidak sejati. Jika produk tidak laku, perkhidmatan tidak laris, undi tidak bertambah? Bagaimana? Kita berhenti dan tawar hati untuk terus melakukan kebaikan?”
“Saya faham. Saya faham sekarang. Budaya kerja yang baik dan konsisten hanya didorong dari dalam. Bukan hanya soal ganjaran dan hukuman sahaja. Dan perbuatan baik kerana keimanan yang mendalam itu lebih tulus, konsisten, tahan uji,” katanya bersetuju.
“Sebenarnya, pernah muncul generasi Islam yang terbaik hasil didikan iman ini. Hingga kini mereka masih terbaik dan tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kaum, bangsa dan negara.”
“Siapa? Bagaimana? ”
“Generasi sahabat Rasulullah. Dalam perang Yarmuk misalnya, beberapa orang sahabat Rasulullah s.a.w. mengalami luka yang cukup parah. Seorang sahabat yang bernama Ikrimah memberikan air kepada seorang sahabat yang rasa haus dan sakit walaupun dia mengalami rasa yang sama. Namun ketika sahabat itu mahu minum, terdengar suara rintihan dari seorang sahabat lainnya, maka dia mengisyaratkan agar memberikan air tersebut kepada sahabat yang lain. Begitulah, air itu diserah kepada seorang kepada seorang lain kerana merasakan orang lain lebih memerlukan, sehinggalah kesemuanya meninggal dunia kerana mengutamakan saudaranya yang lain.”
“Wah, itu lebih hebat daripada apa yang berlaku di Jepun!”
“Itu hanya tinggal sejarah. Tetapi itu satu fakta penting menunjukkan budaya hidup Islam lebih hebat. Bagaimana Umar Ibnu Aziz memadamkan lampu minyak kerajaan apabila anaknya hendak bercakap soal keluarga bukan soal negara, bagaimana Sayidina Abu Bakar memuntahkan susu yang dibeli daripada sumber yang syubhah. Ah, terlalu banyak…”
“Tapi kita hanya Islam pada nama… tidak pada jiwa. Iman belum masuk ke hati. Hingga dengan itu tidak menimbulkan keyakinan yang akan merubah pandangan hidup, sistem nilai, sikap, kelakuan, karakter dan personaliti seterusnya budaya umat Islam. Budaya Islam belum ada, budaya Melayu semakin layu… Padahal jika budaya Melayu yang baik disempurnakan oleh faktor iman, maka kita akan berjaya mengatasi mana-mana pun bangsa di dunia seperti yang dibuktikan oleh umat Arab dahulu. Bukankah mereka itu asalnya jahiliah tetapi akhirnya menjadi umat pembina empayar…”
“Jadi tugas kita sekarang memasukkan iman ke dalam hati umat Islam?”
Saya diam. Ya, itulah jalan yang paling benar,walaupun jalan yang paling sukar. Itulah jalan yang paling singkat,walaupun terasa amat berat….teringat ungkapan perjuangan yang pernah saya dengar suatu ketika dahulu.
credit to: http://genta-rasa.com/ (ustaz Pahrol Mohd Juoi)
No comments:
Post a Comment